Assalamualaikum semua
لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ الحليمُ الكريمُ، سبحانَ اللَّهِ ربِّ العرشِ العظيمِ، الحمدُ للَّهِ ربِّ العالمينَ، أسألُكَ موجباتِ رحمتِكَ وعزائمَ مغفرتِكَ، والغَنيمةَ من كلِّ برٍّ، والسَّلامةَ من كلِّ إثمٍ، لا تدع لي ذنبًا إلَّا غفرتَهُ، ولا همًّا إلَّا فرَّجتَهُ، ولا حاجةً هيَ لَكَ رضًا إلَّا قضيتَها يا أرحمَ الرَّاحمينَ)
Wahai Tuhanku, kurniakanlah anak-anak kami ini kefahaman para nabi dan hafalan para rasul serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir dengan-MU, juga kurniakanlah anak-anak kami ini kesihatan.
Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai.
Ingatkanlah anak-anak kami ini apa-apa yang telah mereka baca, apa-apa yang mereka pelajari dari guru-guru mereka dan tidak akan lupa apabila diperlukan kelak.
Ya ALLAH, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih ,
Jadikanlah anak-anak kami ini sebagai anak-anak yang pintar, anak-anak bertaqwa, yang menjadi harapan untuk memimpin negara pada masa hadapan, serta golongkanlah mereka dikalangan orang-orang yang soleh dan solehah.
Ya ALLAH Ya Latif,
Kami guru-guru dan ibu bapa mereka dengan segala rendah diri memohon agar Engkau kurniakan anak-anak kami yang bakal menduduki peperiksaan ini dan hamba-hamba-MU sekalian dengan taufik dan hidayah, sentiasa di bawah pimpinan dan petunjuk-MU Ya ALLAH, mudah-mudahan segala usaha yang bersungguh-sungguh selama ini dapat menunai hajat mereka iaitu mendapat sepenuh kejayaan 6A.
Di hari yang mulia ini juga kami memohon taufik dan kesejahteraan dari-MU. Anugerahkanlah anak-anak kami yang bakal menduduki peperiksaan cetusan idea yang bernas, kesihatan akal fikiran, kesihatan rohani dan kesihatan jasmani supaya meraka dapat mengapai cita-cita mereka, cita-cita guru-guru dan cita-cita ibu bapa mereka serta menjadi contoh ikutan generasi akan datang.
Ya ALLAH berikanlah mereka sepenuh kekuatan, jauhi sifat kegusaran, jauhi perasaan gemuruh dan gentar agar anak-anak kami yang bakal menduduki peperiksaan ini mampu menjawab soalan peperiksaan dengan penuh ketenangan, dengan penuh dedikasi yang sangat utuh dan akhirnya memperolehi keberhasilan yang dicitakan iaitu 6A UPSR. Inshaa-ALLAH